Tuesday, August 31, 2010

Anjakan Paradigma sempena Kemerdekaan Malaysia ke-53

Assalamualaikum and Good Morning!

31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan kita, negara Malaysia.

Apa makna merdeka? Bebas? Takde dipimpin oleh sesiapa?
Kita bebas tapi sebenarnya kita masih dipimpin bukan?

Apa makna merdeka? Takde peperangan?
Rasanya setiap hari peperangan wujud walaupun bukan yang pakai senjata, takde pertumpahan darah dan sebagainya. Trend peperangan masa kini adalah melalui kata-kata, tulisan dan coretan, publisiti, dan macam-macam lagi.

Apa makna merdeka? Semua orang rasa selamat berada di mana sahaja dalam negara ni?
Tak jugak, kadang-kadang kita sendiri rasa takut untuk ada dalam rumah, takut dimasuk pencuri, takut menjadi mangsa pada mereka yang boleh mengamuk dan sebagainya.

Apa makna merdeka? Setiap bangsa boleh hidup harmoni dan bersatu padu tanpa pergaduhan ataupun pertelingkahan?
Hampir setiap hari kita baca kisah atau konflik antara rakyat negara kita sendiri. Belum masuk lagi part konflik dengan negara lain.


__________________________________________


Merdeka itu sepatutnya secara keseluruhan, pada jiwa, pada minda, pada akhlak, pada pemikiran, pada tingkah laku dan banyak lagi. Maaf jika terkasar bahasa, rakyat pada hari ini masih kurang merdeka. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, ada sebilangan yang tidak mahu belajar dari sejarah. Sedangkan pengalaman itu guru terbaik. Semangat cintakan negara mungkin boleh dipupuk di dalam kelas tetapi tak mungkin dapat dirasa kalau tak dihayati. Kita tak berada di suatu masa di mana kita tidak bebas bersuara, di mana kita dikongkong oleh kuasa asing yang tidak memahami adat budaya kita, kita dijadikan hamba dan diseksa seteruk-teruknya, kita tak berada di suatu zaman yang memerlukan kita untuk mengorbankan titisan darah kita demi KEHARMONIAN. Sebab itu, kita tak dapat menghayati sepenuhnya.


Walaupun telah BEBAS, tetapi pemikiran dan jiwa masih dikongkong oleh orang luar. Buktinya, kita mengagungkan mereka. Kita menjulang mereka. Kita sokong barangan mereka. Kita tunduk pada mereka. Kita bangga jika menjadi sebahagian dari mereka. Kita bahagia jika dapat 'memiliki' mereka. Kita ada budaya sendiri tapi kita ikut budaya mereka. 


Wahai saudaraku, bangunlah dari tidurmu. Bukalah matamu. Pandanglah dengan mata hatimu. Jangan biarkan orang luar menguasai kita. Kalau bukan kita yang menaikkan nama negara, siapa lagi? Kalau bukan kita yang membanggakan negara sendiri, siapa lagi? Kalau bukan kita yang majukan negara, siapa lagi?
Keikhlasan pada negara tak memerlukan wang dan harta yang banyak, tak perlukan pangkat dan darjat yang tinggi tetapi ia memerlukan suatu semangat cintakan negara kerana Tuhan. Di sini tempat kita lahir, di sini tempat kita membesar, di sini tempat kita hidup, di sini tempat kita menerima bermacam-macam dan sekarang masanya untuk kita memberi semula. Sumbanglah pada negara sendiri, bukan negara orang lain. Anda pastinya tak mahu orang luar yang memonopoli negara anda sendiri bukan?


Masih belum terlambat untuk menyumbang pada negara. Bukan kerelaan untuk berperang, bukan kesudian untuk melawan dengan orang luar, tapi kekuatan untuk melawan diri sendiri. Mulakan dengan niat yang suci. Niat berbakti pada negara demi Tuhan, niat memajukan negara demi Tuhan, niat berubah demi Tuhan, niat mencari kebaikan demi Tuhan. 


Cuba bayangkan jika 90% rakyat negara mempunyai pemikiran sebegitu, pasti parti politik juga dapat bekerja bersama-sama, bukan sahaja di bawah satu bumbung bahkan dalam satu bahagian, dalam satu bilik mesyuarat. Perkara ini bukan suatu yang mustahil, ia mampu dicapai.


Saya mengambil kesempatan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 pada setiap warga Malaysia, semoga sambutan kali ini dapat membuatkan kita berfikir bagaimana untuk menjadi lebih merdeka dan menjadi yang lebih baik dan pastinya bersama niat yang suci.


Di samping itu, buat semua umat Islam, selamat beramal dalam 10 malam terakhir Ramadhan, seimbangkan antara perasaan teruja dengan persiapan raya dengan perasaan syukur dikurniakan kesempatan untuk menikmati Ramadhan sebelum kesempatan itu ditarik. Semoga semua memperoleh kebaikan. :')