Monday, March 22, 2010

Ketetapan Allah SWT

Hilang. Itulah perkataan yang boleh saya gambarkan apa yang telah terjadi pada saya beberapa hari ini. Sedih, risau, takut tapi pada masa yang sama saya tak dapat buat apa-apa perubahan, saya tak tahu kenapa tapi yang saya pasti, yang saya tahu, saya dapat berfikir, tapi saya tak dapat berubah. Seolah-olah hati saya telah mati. Seolah-olah hati ni dah terhijab. Astaghfirullah.


Saya masih ingat kejadian yang berlaku 8 tahun yang lepas, keadaan saya tak jauh beza dari mayat hidup, saya seperti dalam dunia saya sendirian. Saya tinggalkan segala kewajipan, saya abaikan segala tuntutan, saya lupakan segala minum dan makan. Saya hanya terbayang-bayang, berfikir yang bukan-bukan.


tapi waktu itu, saya tahu dan pasti apakah puncanya. Saya masih ingat ketika diberi oleh seseorang, saya disuruh meneruskan kerjanya. Seorang budak yang meningkat dewasa, yang masih belum matang dan tak tahu apa2, saya hanya mengiyakan. Akhirnya, ajaran yang diberi telah memakan diri.


Saat ini, saya tak tahu, atas sebab apa saya berubah. Semuanya berlaku secara tiba-tiba, saya berubah dengan mendadak, saya menjadi orang lain dalam sekelip mata. Saya tak lagi merasakan kehebatan al-Quran, saya tak lagi merasakan keindahan solat dan saya tidak lagi merasakan kemanisan iman. Secara jujur, saya ada berusaha, saya ada membelek al-Quran dengan niat untuk mendapat petunjuk tetapi saya dapat merasakan ada suatu hijab yang sedang menyelubungi hati saya. Saya tak tahu,.


Saya cintakan dunia? Sebelum ni, saya dah cuba untuk meninggalkan seberapa banyak keseronokan dunia, saya sibukkan diri dengan kerja dan tanggungjawab, saya abaikan segala nafsu anak remaja dan berjiwa muda, saya nekad untuk mempersembahkan yang terbaik sebagai muslimah sejati tetapi saya kalah pada situasi ini. Saya berjaya mengabaikan suruhan Tuhan, saya berjaya meninggalkan segala perintah.


Mengapakah? Atas sebab apakah? Saat ini, saya berserah kepada Tuhan, mungkin Tuhan mahu tunjukkan kepada saya, Dia yang Maha Kuasa yang boleh mengubah hati seseorang dalam sekelip mata, sebab itu jangan bongkak atau bertepuk tangan apabila anda sudah merasa baik kerana saat itulah ujian yang lebih besar akan datang mengatasi ujian untuk orang-orang yang tidak beriman dan orang kafir.


Pengajaran kedua yang saya dapat, sentiasalah bergantung kepada Allah dan berdoa kepadaNya, meminta supaya hati sentiasa ditetapkan pada jalan yang benar, jangan mudah terpedaya dengan permainan dunia. Saya bercerita ini bukan untuk membuka aib sendiri, bukan juga untuk menyalahkan sesiapa tetapi saya ingin mengajak anda berfikir sedalam-dalamnya, apakah pengajaran disebalik kisah ini.


Bagi sesetengah pihak mungkin tidak dapat menerima dengan jelas apa yang saya cuba sampaikan. Yang saya mampu, mendoakan kalian agar hati anda diterangkan dan disuluhkan dengan cahaya-cahaya keimanan. Ingatlah, Tuhan itu Maha Kuasa, Dia boleh melakukan apa sahaja.


"Allah pencipta langit dan bumi. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata padanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu." (2:117)