Monday, April 12, 2010

Begitulah manusia

Begitulah manusia. Bila susah, terkejar-kejar mencari, berbagai-bagai yang sanggup dikorban, bermacam-macam cara nak mendekati. Bila senang, jangan kata bertegur, pandang pun tak ingin. Mungkin saya sendiri pernah melakukan perkara yang sama tapi saya akan cuba sedaya upaya selepas ini untuk tidak mengulangi dan cuba untuk memperbaiki kerana saya tahu betapa sedihnya hati diperlakukan sedemikian rupa.


Orangnya nampak baik tapi tak disangka perangai yang dididik dari kecil hinggalah sebesar-besar manusia yang boleh berdiri teguh di atas dua kaki, yang boleh menyampaikan dakwah agama pada sahabat-sahabat lain, yang boleh mempengaruhi manusia dengan kata-kata semangat dan peniup angin-angin keinsafan, bersikap mementingkan diri dan tidak pernah fikir apa komplikasi pada sikapnya itu.


Janganlah dicari manusia ketika susah, apa yang saya belajar, time susah, cuba lah untuk bersendirian memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan kemelut itu sendiri dan akan ada sahabat yang setia dan sejati yang akan datang kepada anda membantu untuk turut sama merasa beban yang dipikul. Itulah sahabat sebenar. Mungkin saya sendiri tidak berperangai seperti begitu tetapi saya akan cuba untuk mencuba, akan saya minta pada Tuhan supaya saya dikurniakan sikap macam tu.


Kalau diperhatikan, sungguh ramai manusia yang kesunyian yang hanya ketawa dalam kepura-puraan, yang kosong hatinya, yang mengharapkan kasih sejati, yang sangat sukar diperoleh, namun saya percaya kasih Tuhan itu melebihi segalanya. Saya berharap manusia-manusia yang sunyi ini sebenarnya terhibur hatinya oleh kasih sayang Tuhan, terhibur hati mereka oleh ayat-ayat Tuhan, terhibur hati mereka oleh janji-janji Tuhan yang pasti, terhibur hati mereka oleh panggilan-panggilan yang mengharap, terhibur hati mereka oleh sujud-sujud yang mereka kerjakan.


Sahabat yang memahami setiap butir bicara saya, janganlah bersedih, walaupun saya sendiri kadang-kadang tak mampu memujuk diri sendiri, ingatlah kasih sayang Tuhan melebihi segalanya, jika kita inginkan sebuah cinta, cintailah dulu yang menciptakan cinta itu, jika kita inginkan sebuah kepercayaan, percayalah dulu yang menciptakan rasa percaya itu, jika kita inginkan kasih sayang, sayangilah dulu pada pencipta yang menciptakan perasaan sayang itu.