Saturday, March 20, 2010

Air Mata

Tak terkira air mata yang menitis, merembes keluar membawa segala perasaan. Apakah nilai setiap titis air mata ini? Adakah ia mempunyai harga pada pandangan Tuhan? Amatlah rugi bagi manusia yang menangis dengan sia-sia.

Bagi wanita, air mata adalah senjata, air mata adalah buah perasaan, air mata mengucapkan lebih kuat dari lidah, air mata meluahkan segala yang tersembunyi, air mata yang menitik sungguh tiada paksaan mahupun kekuatan, ia mengalir laju tanpa diminta, tanpa disuruh namun tidak juga mahu berhenti.

Atas sebab apa air mata tercipta, bagaimana air mata yang hilang bila diseka itu sungguh besar kesannya pada jiwa dan hati seseorang manusia, apakah harga bagi setiap titis air mata, mampukah ia dijual beli, semuanya bermain di onak fikiran, sungguh dahsyat kuasa Tuhan yang mengatur segala caturan hidup yang di langit dan di bumi. Subhanallah.

Air mata yang jernih tadi boleh hilang dalam beberapa ketika namun hilangkah segala perasaan yang membawa air mata, mana mungkin boleh dipadam rasa syahdu dan rindu pada Tuhan semudah itu, air mata yang mengharapkan kerinduan dan keredhaan Tuhannya, yang ingin merasa hampir pada Penciptanya, kadang-kadang, perasaan tidak boleh diluahkan dengan ucapan semata, kerana lidah itu bijak berkata-kata namun keikhlasannya belum tentu terdetik.

Air mata diibaratkan seperti mutiara yang sukar didapati, mengharapkan sejuta pengorbanan, semahal itukah harga air mata? Mungkin mudah bagi sekelompok manusia untuk air mata nya menitis tapi belum tentu membawa isi. Air mata yang manis dan mahal adalah air mata yang disulami dengan keinsafan, yang dijahit dengan benang-benang taubat, biar tak tebal namun kuat, biar tak mahal namun bertahan, biar tak cantik namun dapat mencantumkan, melonggokkan segala usaha, niat dan fikiran, agar tetap pada yang satu.

Letakkanlah air mata pada tempat yang sepatutnya, tunaikan hak air mata yang akan menjadi saksi di hadapan Penciptanya kelak. Rasakanlah kemanisan air mata yang dibaluti selimut keinsafan agar dirimu terpelihara dari api neraka. InsyaAllah.