Wednesday, June 02, 2010
Memories
"Setiap minit adalah berharga dan akan kekal dalam ingatan"
Bila diingat balik perjalanan hidup ini, akan timbul satu soalan di benak fikiran, kenapa semua tu terjadi? Kita mungkin tiada jawapan untuk soalan itu dan terus bertanya..
Kenapa perkara itu terjadi kalau di penghujungnya ia tak memberi kebahagiaan, ia tak memberi hasil seperti yang diharapkan..
Kenapa perkara itu terjadi kalau di penghujungnya terpaksa bercerai kasih, berputus hubungan?
Tak boleh dinafikan, kita memang takkan mampu untuk menjawab soalan itu.. Allah sembunyikan segala rahsia hanya dalam pengetahuanNya...
Yang mampu kita buat, teruskan kehidupan, dan buat perkara yang lebih baik..
Tetapi, jauh di sudut hati mesti ada perasaan kesal dan terkilan, terkenang tentang bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir, sehingga ada hati yang kecewa, ada perasaan yang terkorban, ada orang yang terluka...
Sejujurnya, tidak ada pengganti untuk itu, tidak ada yang dapat menukarkan kekecewaan itu kepada kebahagiaan, tidak ada yang dapat meluruskan besi dengan sempurna selepas ia bengkok, tidak ada yang dapat mengubah seraut wajah yang sentiasa menitik air matanya kepada seukir senyuman yang ikhlas..
Kenapa ia terjadi? Adakah sebagai hukuman atau sebagai ujian? Allah sahaja yang Maha Mengetahui..
Kadang-kadang, sesuatu perkara yang dianggap kejam dan kurang bijak terpaksa diambil demi kebaikan sesetengah pihak namun tak semua menyedari tentang hakikat itu sehinggalah dia dapat merasakan bagaimana berada di tempat yang maksudkan..
Dalam dunia ni, manusia seringkali tak berlaku jujur dan ikhlas, oleh sebab itu, manusia tidak boleh diberi kepercayaan 100%, cukuplah sekadar dapat menjaga perhubungan tersebut dari rosak dan membinasakan..
"People change"
Ya, memang betul. Mungkin di zaman kanak-kanak, perawakan kita lain, bila sampai di alam persekolahan, perawakan berubah dan akhirnya apabila memasuki alam remaja dan dewasa, manusia itu akan berubah. Terpulang kepada individu sama ada untuk berubah kepada kebaikan atau keburukan..
Seseorang itu tidak wajar dinilai hanya kerana masa silamnya, dia tidak wajar dinilai hanya kerana kesilapannya dan sememangnya dia tidak wajar dinilai hanya kerana kelebihannya.. kerana bagi saya, segala yang ada di bumi hanyalah bersifat sementara.
Apa yang terjadi harini tak semestinya akan berlaku pada esok hari.. Apa yang dilakukan pada hari ini tak semestinya akan dilakukan lagi pada esok hari..
Begitulah manusia, manusia tidak kekal dan hanya bersifat sementara. Mungkin hari ini, perangainya menjengkelkan atau menyakitkan hati, tapi mungkin pada hari esok, perwatakannya membahagiakan..
"Jangan terlalu sayang dan jangan terlalu benci"
Macam mana agaknya yang dikatakan terlalu sayang? Mungkin apabila kita terlalu memuji atau terlalu mengagungkan seseorang, boleh jadi jugak sesuatu benda.. Saya pernah berkata, 'dialah nyawa saya, saya takkan dapat hidup tanpa dia'.. Betapa jahilnya kita andai kita berkata macam tu.. Boleh ke kita bergantung hidup hanya pada manusia yang dihidupkan dari mati dan akan dimatikan semula dan dikembalikan kepada penciptanya..?
Untuk bahagian terlalu membenci, dalam hidup ini, pasti ada sedikit perasaan tidak suka atau benci, mungkin pada orang atau mungkin pada sesuatu perkara.. Kita cuba bertahan sebaik mungkin untuk menangani perasaan tersebut, kita abaikan segala hasutan, kita ketepikan segala kepentingan namun sebagai manusia, tidak dapat dinafikan, kita sangat mudah kalah pada godaan syaitan.. Syaitan sangat suka kalau kita bermusuh-musuhan sesama makhluk..
Oleh sebab itu, bersederhanalah kita hidup di bumi Allah ini, dalam setiap segi.. Berkasih sayanglah secara sederhana even dengan ahli keluarga sendiri kerana tiada yang lebih berhak mendapat kasih sayang dan cinta kita sepenuhnya selain Tuhan yang menciptakan..
Saturday, May 29, 2010
Al-fatihah
Petang yang sayu, dengan rintik-rintik hujan seakan-akan memahami dan turut sama merasai perasaan yang menyelubungi sebilangan besar hamba Allah terutamanya dari keluargaku, dengan pemergian arwah pak ngah yang begitu banyak jasanya pada kami semua, aku sudah mula merindui arwah, rindukan senyum dan gelak tawanya, kadang-kadang bagaikan tak percaya bahawa beliau dah pergi meninggalkan kita semua, tapi hakikat tetap hakikat dan itu semua kerja Allah SWT.
Setelah berbulan lamanya berjuang dengan penyakit kanser, jauh di sudut hati tidak pernah mengalah dalam mencari penawar, namun sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, mungkin ada hikmah di sebalik segalanya yang belum kita sedar lagi. Alhamdulillah, pemergiannya tidak sesukar mana, sekurang-kurangnya beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di pangkuan isteri dan anak-anak..
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dilindungi dari azab kubur dan minta ditempatkan bersama orang beriman. Semoga keluarganya terus tabah dan kuat meneruskan kehidupan tanpa suami dan bapa tercinta yang selama ini, menjadi tulang belakang keluarga yang tak kenal lelah memberi nafkah dan menyediakan segala keperluan untuk isteri, anak-anak dan adik-beradik.
Sekalung al-fatihah buat arwah pakngah. :(
Thursday, May 13, 2010
Good Job
tadi saya pergi renew license saya yang dah 3 bulan tertangguh. hehe. berisikonya saya drive guna lesen yang dah expired. :P
ini lah lesen terbaru saya yang bakal bertahan selama 5 tahun.
cantik kan. cantik kan. heheheApa yang saya nak sampaikan di sini, saya berbangga dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak JPJ, yang cepat, cekap dan efisien. tabik spring harus diberikan kepada pihak JPJ. Tak sampai 30 minit saya kat sana, segalanya selesai, dari sesi ambil gambar, ambil nombor, sampailah kepada mendapat lesen yang baru. Tahniah JPJ! Keep up the good work :)
selain tu, saya rasa saya dah dapat satu keputusan untuk masalah saya, insyaAllah, kalau Tuhan izinkan, semuanya akan berjalan lancar, kalau tak, redha jela yang semua nya dah ditakdirkan :)
Till then. Have a good evening :))
Kesilapan itu perlu
korang apa khabar agaknya harini? Saya baik2 je, alhamdulillah, masih dapat merasa nikmat Allah walaupun diuji dan diuji. hehe :)
Beberapa hari yang lepas, satu kejadian dah betul2 menyedarkan saya, yang buat saya terbeliak dan terjaga dari kekhilafan diri. Kadang-kadang kita sangat memerlukan kesilapan kerana dari situ kita belajar tentang kebenaran.
Syukur alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk belajar dan terus belajar mengenal diri di samping memperbaiki diri sendiri.
Saya mungkin dibenci orang sebelum ini, dan saya tak berdaya melainkan hanya meminta maaf atas segala salah dan silap. Saya tak dapat berjanji kalau saya boleh menjadi orang yang baik tapi saya sedang mencuba untuk menjadi yang lebih baik.
Memang sukar perjalanan dan hijrah ini, perlu mental yang kuat, iman yang teguh, semangat yang kental. Kadang-kadang bila saya buat satu perkara yang saya rasa sangat tak patut, saya cuba untuk menahan diri tetapi terjadi jgk, saat tu, saya hanya bergantung pada kudrat dan iradat Allah.
Semoga Allah terus menyedarkan saya dari kesilapan dan semoga hati saya sentiasa nampak pada kebenaran :)
Tuesday, May 04, 2010
Ya Allah
Thursday, April 29, 2010
fall in love again (",)

Monday, April 12, 2010
Begitulah manusia
Orangnya nampak baik tapi tak disangka perangai yang dididik dari kecil hinggalah sebesar-besar manusia yang boleh berdiri teguh di atas dua kaki, yang boleh menyampaikan dakwah agama pada sahabat-sahabat lain, yang boleh mempengaruhi manusia dengan kata-kata semangat dan peniup angin-angin keinsafan, bersikap mementingkan diri dan tidak pernah fikir apa komplikasi pada sikapnya itu.
Janganlah dicari manusia ketika susah, apa yang saya belajar, time susah, cuba lah untuk bersendirian memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan kemelut itu sendiri dan akan ada sahabat yang setia dan sejati yang akan datang kepada anda membantu untuk turut sama merasa beban yang dipikul. Itulah sahabat sebenar. Mungkin saya sendiri tidak berperangai seperti begitu tetapi saya akan cuba untuk mencuba, akan saya minta pada Tuhan supaya saya dikurniakan sikap macam tu.
Kalau diperhatikan, sungguh ramai manusia yang kesunyian yang hanya ketawa dalam kepura-puraan, yang kosong hatinya, yang mengharapkan kasih sejati, yang sangat sukar diperoleh, namun saya percaya kasih Tuhan itu melebihi segalanya. Saya berharap manusia-manusia yang sunyi ini sebenarnya terhibur hatinya oleh kasih sayang Tuhan, terhibur hati mereka oleh ayat-ayat Tuhan, terhibur hati mereka oleh janji-janji Tuhan yang pasti, terhibur hati mereka oleh panggilan-panggilan yang mengharap, terhibur hati mereka oleh sujud-sujud yang mereka kerjakan.
Sahabat yang memahami setiap butir bicara saya, janganlah bersedih, walaupun saya sendiri kadang-kadang tak mampu memujuk diri sendiri, ingatlah kasih sayang Tuhan melebihi segalanya, jika kita inginkan sebuah cinta, cintailah dulu yang menciptakan cinta itu, jika kita inginkan sebuah kepercayaan, percayalah dulu yang menciptakan rasa percaya itu, jika kita inginkan kasih sayang, sayangilah dulu pada pencipta yang menciptakan perasaan sayang itu.
Monday, March 22, 2010
Ketetapan Allah SWT
Saya masih ingat kejadian yang berlaku 8 tahun yang lepas, keadaan saya tak jauh beza dari mayat hidup, saya seperti dalam dunia saya sendirian. Saya tinggalkan segala kewajipan, saya abaikan segala tuntutan, saya lupakan segala minum dan makan. Saya hanya terbayang-bayang, berfikir yang bukan-bukan.
tapi waktu itu, saya tahu dan pasti apakah puncanya. Saya masih ingat ketika diberi oleh seseorang, saya disuruh meneruskan kerjanya. Seorang budak yang meningkat dewasa, yang masih belum matang dan tak tahu apa2, saya hanya mengiyakan. Akhirnya, ajaran yang diberi telah memakan diri.
Saat ini, saya tak tahu, atas sebab apa saya berubah. Semuanya berlaku secara tiba-tiba, saya berubah dengan mendadak, saya menjadi orang lain dalam sekelip mata. Saya tak lagi merasakan kehebatan al-Quran, saya tak lagi merasakan keindahan solat dan saya tidak lagi merasakan kemanisan iman. Secara jujur, saya ada berusaha, saya ada membelek al-Quran dengan niat untuk mendapat petunjuk tetapi saya dapat merasakan ada suatu hijab yang sedang menyelubungi hati saya. Saya tak tahu,.
Saya cintakan dunia? Sebelum ni, saya dah cuba untuk meninggalkan seberapa banyak keseronokan dunia, saya sibukkan diri dengan kerja dan tanggungjawab, saya abaikan segala nafsu anak remaja dan berjiwa muda, saya nekad untuk mempersembahkan yang terbaik sebagai muslimah sejati tetapi saya kalah pada situasi ini. Saya berjaya mengabaikan suruhan Tuhan, saya berjaya meninggalkan segala perintah.
Mengapakah? Atas sebab apakah? Saat ini, saya berserah kepada Tuhan, mungkin Tuhan mahu tunjukkan kepada saya, Dia yang Maha Kuasa yang boleh mengubah hati seseorang dalam sekelip mata, sebab itu jangan bongkak atau bertepuk tangan apabila anda sudah merasa baik kerana saat itulah ujian yang lebih besar akan datang mengatasi ujian untuk orang-orang yang tidak beriman dan orang kafir.
Pengajaran kedua yang saya dapat, sentiasalah bergantung kepada Allah dan berdoa kepadaNya, meminta supaya hati sentiasa ditetapkan pada jalan yang benar, jangan mudah terpedaya dengan permainan dunia. Saya bercerita ini bukan untuk membuka aib sendiri, bukan juga untuk menyalahkan sesiapa tetapi saya ingin mengajak anda berfikir sedalam-dalamnya, apakah pengajaran disebalik kisah ini.
Bagi sesetengah pihak mungkin tidak dapat menerima dengan jelas apa yang saya cuba sampaikan. Yang saya mampu, mendoakan kalian agar hati anda diterangkan dan disuluhkan dengan cahaya-cahaya keimanan. Ingatlah, Tuhan itu Maha Kuasa, Dia boleh melakukan apa sahaja.
"Allah pencipta langit dan bumi. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata padanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu." (2:117)
Saturday, March 20, 2010
Air Mata
Tak terkira air mata yang menitis, merembes keluar membawa segala perasaan. Apakah nilai setiap titis air mata ini? Adakah ia mempunyai harga pada pandangan Tuhan? Amatlah rugi bagi manusia yang menangis dengan sia-sia.
Bagi wanita, air mata adalah senjata, air mata adalah buah perasaan, air mata mengucapkan lebih kuat dari lidah, air mata meluahkan segala yang tersembunyi, air mata yang menitik sungguh tiada paksaan mahupun kekuatan, ia mengalir laju tanpa diminta, tanpa disuruh namun tidak juga mahu berhenti.
Atas sebab apa air mata tercipta, bagaimana air mata yang hilang bila diseka itu sungguh besar kesannya pada jiwa dan hati seseorang manusia, apakah harga bagi setiap titis air mata, mampukah ia dijual beli, semuanya bermain di onak fikiran, sungguh dahsyat kuasa Tuhan yang mengatur segala caturan hidup yang di langit dan di bumi. Subhanallah.
Air mata yang jernih tadi boleh hilang dalam beberapa ketika namun hilangkah segala perasaan yang membawa air mata, mana mungkin boleh dipadam rasa syahdu dan rindu pada Tuhan semudah itu, air mata yang mengharapkan kerinduan dan keredhaan Tuhannya, yang ingin merasa hampir pada Penciptanya, kadang-kadang, perasaan tidak boleh diluahkan dengan ucapan semata, kerana lidah itu bijak berkata-kata namun keikhlasannya belum tentu terdetik.
Air mata diibaratkan seperti mutiara yang sukar didapati, mengharapkan sejuta pengorbanan, semahal itukah harga air mata? Mungkin mudah bagi sekelompok manusia untuk air mata nya menitis tapi belum tentu membawa isi. Air mata yang manis dan mahal adalah air mata yang disulami dengan keinsafan, yang dijahit dengan benang-benang taubat, biar tak tebal namun kuat, biar tak mahal namun bertahan, biar tak cantik namun dapat mencantumkan, melonggokkan segala usaha, niat dan fikiran, agar tetap pada yang satu.
Letakkanlah air mata pada tempat yang sepatutnya, tunaikan hak air mata yang akan menjadi saksi di hadapan Penciptanya kelak. Rasakanlah kemanisan air mata yang dibaluti selimut keinsafan agar dirimu terpelihara dari api neraka. InsyaAllah.